SEPTEMBER 2022

Pembinaan Jambatan Marudi Diteruskan


MARUDI, Khamis: Projek pembinaan jambatan Marudi yang terbengkalai sebelum ini akan disiapkan dalam masa 24 bulan oleh kontraktor penyelamat, kata Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Haji Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg pada Khamis.

Beliau menyatakan demikian dalam ucapan ringkas pada majlis makan tengah hari sempena lawatan kerja beliau ke sini.

Surat Setuju Terima telah diserahkan kepada syarikat Pekerjaan Piasau Konkrit Sdn. Bhd.sebagai kontraktor penyelamat dengan kos kontrak sebanyak RM 116.5 juta.

Beliau berkata lawatan beliau pada kali ini juga untuk meninjau perkembangan mengenai projek pembinaan Tebingan Marudi, projek Water Intake bagi sistem bekalan air Marudi dan kerja-kerja pemulihan Masjid Daerah Marudi.

Mengenai Jambatan Marudi yang pada asalnya ditender melalui tender terbuka kepada Syarikat HKK & Salem pada 2019, beliau menyatakan syarikat menghadapi masalah dan tidak dapat meneruskan kerja-kerja untuk menyiapkan jambatan tersebut.

Setelah kontrak asal tersebut diberhentikan mengikut proses-proses tertentu barulah kontraktor penyelamat dapat dilantik untuk meneruskan projek, kata beliau lagi.

Premier yakin kontraktor penyelamat akan menyiapkan projek tersebut seperti dalam perjanjian berdasarkan kepada pengalaman syarikat menyiapkan Jambatan Lanang dan Jambatan Long Lama.

Semua perkakas dan bahan-bahan binaan telah dibawa ke tapak dan kontraktor telah memulakan kerja-kerja tapak untuk menyiapkan projek, ujar beliau.

Terdahulu Premier telah diberi taklimat mengenai keempat-empat projek tersebut bertempat di Dewan Suarah di sini.

Turut berucap Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datu Dr. Penguang Manggil yang juga ADUN Marudi.

Turut hadir Timbalan Premier, Datuk Amar Douglas Uggah Embas yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Dato Sri Mohamad Abu Bakar Marzuki dan Ahli Parlimen Baram, Tuan Anyie Ngau.

Sumber dari : Sarawakku